Wednesday, June 30, 2010

...::: Konsep Asas Bergurau :::...

(ilustrasi yg x berkaitan semata-mata...)




Manusia dicipta daripada 2 unsur, iaitu unsur tanah dan unsur ruh. Oleh itu, antara keperluan rohani yg diiktiraf oleh Islam ialah gurau senda. Hal ini penting kerana kerana ia adalah naluri seorang manusia dan kita tak mampu nak serius setiap masa. 

Dalam kes ini, gurau senda Rasulullah adalah sebaik-baik ikutan. Firman Allah SWT yg bermaksud:
"Sesungguhnya untuk kamu pada diri Rasulullah contoh teladan yg baik; bagi sesiapa yg mengharapkan Allah dan hari akhirat, serta banyak berzikir kpd Allah."
(Surah al-Ahzab)
*tak ingat ayat berapa...klu ad masa nnt boleh la cari. :)

Dr Yusuf al-Qardawi pernah menjelaskan dalam kitabnya bahawa Rasulullah apabila mengerjakan solat sendirian, memanjangkn kekhusyukannya, dan tangisannya sehingga bengkak kedua kakinya. Baginda tidak menghiraukan orang lain dalam memenuhi hak Allah. Tapi, dalam kehidupan sosialnya, baginda memang seimbang. Rasulullah sentiasa ceria dan tersenyum, berguaru senda, dan berjenaka dan baginda juga tidak menyebut melainkan yg benar.

Rasulullah selalu bergurau dengan para sahabat tetapi tidak membawa kepada mereka-reka cerita yg tidak benar atatu bohong. Kebenaran adalah konsep asas bergurau senda dalam Islam. Mengikut hadis riwayat at-Tarmizi, Ahmad, dan Bukhari: Abu Hurairah menceritakan, para sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, kamu selalu bergurau senda dengan kami. Lalu baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak berkata melainkan yang benar."

Ada beberapa kisah yg menceritakan ttg gurau senda Rasulullah, antaranya kisah Rasulullah dengan seorang lelaki yang ingin menumpangnya. 
Anas bin Malik mengisahkan seorang lelaki yg ingin menumpang kenderaan unta Rasulullah. Lalu baginda berkata, "Aku akan tunggangkan kamu nanti ke atas anak unta."
"Apa yang aku boleh buat dengan anak unta", tanya lelaki tu.
"Bukankah unta hanya melahirkan anak unta?" jawab baginda.

Peristiwa lain ialah sepertimana yg dikisah oleh Anas bin Malik juga bahawa baginda pernah memanggilnya dengan gelaran,"wahai si lelaki yang bertelinga dua." Sememangnya semua lelaki normal bertelinga dua. Begitu juga Anas bin Malik.

Banyak lagi kisah-kisah gurau senda Rasulullah yg diceritakan oleh para sahabat, tapi apa yang pentingnya kita faham bahawa konsep asas dalam gurau senda ialah KEBENARAN, kerana berbohong merupakan perbuatan keji, haram, dan berdosa besar. 

Berbohong hukumnya haram, tetapi dalam situasi tertentu berubah menjadi mubah bahkan wajib. Para ulama menetapkan pembahagian hukum bohong dengan 5 kategori hukum syara' sepertimana berikut :
  • Haram, iaitu kebohongan yang tak berguna menurut pandangan syara'.
  • Makruh, iaitu kebohongan yang dipergunakan untuk memperbaiki masalah rumah tangga dan yang sejenisnya.
  • Sunat, iaitu seperti bertujuan untuk menakut-nakutkan musuh Islam dalam  peperangan, seperti khabar berita tentang jumlah tentera dan kelengkapan kaum muslimin agar musuh keliru dan bimbang.
  • Wajib, iaitu seperti yang dilakukan untuk menyelamatkan nyawa seorang muslim atau hartanya dari kematian atau kebinasaan.
  • Mubah, contohnya bertujuan untuk mendamaikan persengketaan dalam masyarakat.
Walau bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat, semua bentuk kebohongan adalah buruk dan harus dijauhi, sebab banyak ayat-ayat Al Qur’an dan hadis yang mencela perbuatan berbohong. Oleh yang demikian, janganlah kita berbohong walau apa juapun yg tidak berkeperluan spt saja-saja nak buat lawak kerana ia perbuatan yg keji di sisi Islam...

Wallahu A'lam..

Monday, June 28, 2010

Teka-teki


Permainan teka-teki bergantung kepada kebijaksanaan akal. Banyak teka-teki dibuat untuk menguji ketajaman akal. Permainan ini adalah diharuskan.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Ada antara pokok yang tidak gugur daunnya. Ia bagaikan seorang muslim. Ceritakan kepadaku apa ia?"

Ada sahabat yang menyangka ia adalah pokok di lembah. Abdullah Umar pula merasakan ia adalah pohon tamar. Para sahabat kemudian meminta jawapan Rasulullah SAW. Baginda lantas menjelaskan itulah dia pohon tamar.

Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan faedah hadis ini antaranya seorang guru menguji akal para pelajarnya dengan sesuatu yang tersembunyi kemudian diberikan penjelasan apabila mereka gagal memahaminya... Ia satu rangsangan untuk memahami ilmu...hadis ini juga terkandung petunjuk bahawa seorang yang membuat teka-teki perlu bijak menyedari konteks semasa yang berlaku ketika diajukan soalan. Seorang yang membuat teka-teki juga tidak boleh berlebih-lebihan sehinga menimbulkan kesamaran.

Teka-teki boleh dijadikan satu alat pembelajaran yang menarik kerana ia menguji akal dan menajamkan cara berfikir.

Oleh itu, kita sebagai seorang muslim yang diajar agar sentiasa bijak berfikir, wajarlah untuk menjadikan teka-teki sebagai sebahagian hiburan bersama keluarga dan rakan-rakan..Wallahu A'lam

Friday, June 18, 2010

...::: Ambil yang Jernih, Suci daripada Kekeruhan :::...



Qal Rasulullah SAW:

"Orang Yahudi telah berpecah menjadi 71 atau 72 puak, begitu juga Nasrani dan umatku akan berpecah menjadi 73 puak, semua di dalam Neraka kecuali satu puak; mereka (para sahabat) bertanya: 'Siapa mereka, wahai Rasulullah?' (Jawab baginda): Mereka ialah orang yang tetap berpegang dan melakukan apa yang telah dan akan aku lakukan bersama sahabat-sahabatku."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Masa kini, perkataan ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah banyak disebut-sebut dan seolah-olah hanya ada dua sahaja fahaman dalam Islam. Sebenarnya, banyak lagi fahaman yang wujud sejak abad pertama Hijrah iaitu sejak pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.

Qal Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya sesiapa yang hidup lama antara kamu sesudahku, maka ia akan dapat menyaksikan perselisihan faham yang banyak. Pada masa itu, hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa Ar-Rasyidin. Berpegang teguhlah dengannya dan pertahankanlah ia sekalipun kamu terpaksa menggantikannya dengan geraham (menggadaikan nyawa)."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Sanggupkah kita mati kerana fahaman yang kita pegang sekarang? Jelas sekali hadis di atas bahawa fahaman yang benar dan selamat hanyalah fahaman ahli Sunnah wal Jamaah, walaupun pada zaman Rasulullah dan Khulafa Ar-Rasyidin tidak disebut "ahli Sunnah wal Jamaah", tapi disebut sebagai Sunnah Rasulullah dan para sahabat.

Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dan Abu Daud bahawa akidah yang jernih yang memenuhi ciri-ciri akidah tauhid ialah akidah ahli Sunnah wal Jamaah kerana fahaman golongan ini adalah berdasarkan al-Quran, Hadis Rasulullah SAW dan amalan para sahabat iaitu Khulafa Ar-Rasyidin dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik, kekuasaan, kedudukan kelompok tertentu atau taksub kepada individu atau tokoh tertentu.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama membersihkan air yang keruh, dan ambillah air yang jernih untuk kebahagiaan hayat kita fid dunya wal akhirah...

InsyaAllah..

Thursday, June 17, 2010

...::: Kemanisan Iman yang Hakiki :::...



Baru selesai solat Jumaat, mendengar khutbah tentang ahli Sunnah wal Jamaah.

Khutbah hari ini menceritakan tentang kebenaran ajaran Islam yang dibawa Rasulullah yang masih diamalkan oleh ahli Sunnah wal Jamaah.

Tapi pernahkah kita terfikir, walaupun pada kita jemaah kita ini ialah jemaah yang benar, tapi kenapa kumpulan Syiah menganggap bahawa mereka yang benar. Kita kata pegangan kita lebih hampir kepada ajaran Islam, tapi mereka pula menganggap mereka yang lagi hampir kepada Islam. Jika masing-masing percaya pegangan masing-masing betul, siapakah yang betul sebenarnya?

Benarkah kita berada di landasan yang betul? Adakah kita mengikut ahli Sunnah wal Jamaah kerana orang lain di Malaysia ikut atau warisan daripada ibu bapa kita atau kita kata kita yakin bahawa jalan kita betul? Kalau kita kata kita yakin, adakah keyakinan itu datangnya daripada penjelasan-penjelasan pak ustaz-pak ustaz atau alim ulama di Malaysia?

Jika itu datangnya punca keyakinan kita, pernahkah kita analisa bahawa sekiranya kita tinggal di Iran pak ustaz-pak ustaz mereka ramai juga yang mengikut ajaran Syiah dan sekiranya mereka berjaya meyakinkan kita, adakah kita akan mengikut fahaman Syiah?

Memang benar sekarang kita kata Syiah tu banyak yang mengarut, tapi itu kerana kita adalah pengikut Sunni dan jika kita mengikut Syiah, kita akan kata ahli Sunni mengarut pula. Bagaimana?

Saudara dan saudari,
fikirlah mengapa anda mengikut jemaah ini, bukan hanya mengikut dan percaya membabi-buta kerana kepercayaan yang membabi-buta akan menyebabkan anda mudah dipesongkan. Kajilah Islam dan kepercayaan anda sedalam-dalamnya. Jika kita hanya percaya bulat-bulat kepada pak ustaz-pak ustaz, bagaimana pula jika pak ustaz pula sudah terpesong? Maka itulah gunanya akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT supaya kita berfikir dan mengkaji.

Jika seorang pak ustaz kata "A!", maka janganlah kita terus kata "A!" melainkan ia sememangnya mempunyai dalil-dalil dan hujah-hujah yang berdasarkan al-Quran dan Hadis (saya tidak kata hujah yang kuat kerana kadang kala pegangan yang salah juga boleh mempunyai hujah yang kuat jika seseorang pandai memberi hujah..). Maka dengan itu, rujuklah beberapa orang pak ustaz lain dan jika anda masih ragu-ragu, maka bukalah kitab-kitab agama dan jika kitab-kitab agama itu mempunyai pertentangan dengan kata-kata pak ustaz, maka wujudkanlah persoalan kepada pak ustaz untuk menjelaskan segalanya dan sekiranya pak ustaz tidak pasti, tanyalah pak ustaz yang lain.

Apa-apa pun yang penting sekali, bila kita sudah mendapat jawapan, maka adalah penting untuk kita berkongsi dengan kawan-kawan dan juga pak ustaz yang kurang pasti tadi, dan dengan itu barulah boleh kita kata bahawa kita menganut Islam bukan atas dasar warisan atau keyakinan yang tidak berasas, atau sebagainya, malah kita ialah penganut Islam yang berkepercayaan berasaskan kajian, kebenaran, dan keimanan yang berasas dan tidak berbelah bahagi.

Inilah kemanisan Iman yang hakiki!

Wednesday, June 16, 2010

...::: Yang Haq Tetap Haq, Yang Batil Tetap Batil :::...

ﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻ ﺍﻟﻟﻪ ﻣﺣﻣﺫ ﺮﺳﻮﻞ ﺍﻟﻟﻪ

Itulah pegangan sepanjang hidup umat Islam. "Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad itu Pesuruh Allah"


Mudah berkata, berat dipikul,

Mulut mengata, otak menaakul;

Lembaran ditinta, melindung haq,

Yang haq dibata, yang terlindung dijelas haq.


Qal Rasulullah SAW:

"Yang HALAL ialah apa yang dihalalkan oleh Allah Taala di dalam kitab-Nya dan yang HARAM ialah apa yang diharamkan oleh Allah Taala di dalam kitab-Nya dan apa yang ia (Allah) diam, maka ia merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh-Nya kepada kamu."

(Hadis Riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Setuju?

Jika anda seorang Islam yang benar-benar mengIslamkan diri anda, seharusnya anda kaji hadis di atas bukan atas dasar maknawinya dan usulnya sahaja malah pada zatnya itu sendiri.

Pernahkah anda terfikir, bahawa semasa zaman Rasulullah Al-Quran masih belum dibukukan? Dan dari mana pula datangnya istilah kitab Allah dalam hadis tersebut?

Ilmu Hadis merupakan salah satu ilmu yang amat penting untuk dipelajari supaya anda tidak menerima hadis-hadis palsu ciptaan kafir la'natullah sebulat-bulatnya. Hadis di atas ialah hadis sahih dan kalau kita rujuk pada perkataan kitab Allah yang dimaksudkan ialah firman Allah. Dan jika ia merujuk kepada mashaf sekalipun, hal ini menunjukkan ilmu Allah itu meliputi masa hadapan yang mana Dia mengetahui bahwa firman-firman Allah akan dibukukan suatu masa nanti.

Sebagai pengenalan, hanya sedikit sahaja perkara yang boleh saya jadikan diskusi dan sebelum menamatkan post yang pertama, suka sekali saya menyampaikan sedikit picisan Hadis Rasulullah SAW untuk dikongsi bersama:

"Sesungguhnya benar itu menunjukkan kebaikan dan kebaikan membawa ke Syurga dan sesungguhnya seseorang itu berlaku benar sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar dan sesungguhnya bohong itu menunjukkan keburukan dan keburukan itu membawa ke Neraka dan sesungguhnya seseorang itu berbohong sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai pembohong."

(Muttafiq 'Alaih)