Thursday, June 17, 2010

...::: Kemanisan Iman yang Hakiki :::...



Baru selesai solat Jumaat, mendengar khutbah tentang ahli Sunnah wal Jamaah.

Khutbah hari ini menceritakan tentang kebenaran ajaran Islam yang dibawa Rasulullah yang masih diamalkan oleh ahli Sunnah wal Jamaah.

Tapi pernahkah kita terfikir, walaupun pada kita jemaah kita ini ialah jemaah yang benar, tapi kenapa kumpulan Syiah menganggap bahawa mereka yang benar. Kita kata pegangan kita lebih hampir kepada ajaran Islam, tapi mereka pula menganggap mereka yang lagi hampir kepada Islam. Jika masing-masing percaya pegangan masing-masing betul, siapakah yang betul sebenarnya?

Benarkah kita berada di landasan yang betul? Adakah kita mengikut ahli Sunnah wal Jamaah kerana orang lain di Malaysia ikut atau warisan daripada ibu bapa kita atau kita kata kita yakin bahawa jalan kita betul? Kalau kita kata kita yakin, adakah keyakinan itu datangnya daripada penjelasan-penjelasan pak ustaz-pak ustaz atau alim ulama di Malaysia?

Jika itu datangnya punca keyakinan kita, pernahkah kita analisa bahawa sekiranya kita tinggal di Iran pak ustaz-pak ustaz mereka ramai juga yang mengikut ajaran Syiah dan sekiranya mereka berjaya meyakinkan kita, adakah kita akan mengikut fahaman Syiah?

Memang benar sekarang kita kata Syiah tu banyak yang mengarut, tapi itu kerana kita adalah pengikut Sunni dan jika kita mengikut Syiah, kita akan kata ahli Sunni mengarut pula. Bagaimana?

Saudara dan saudari,
fikirlah mengapa anda mengikut jemaah ini, bukan hanya mengikut dan percaya membabi-buta kerana kepercayaan yang membabi-buta akan menyebabkan anda mudah dipesongkan. Kajilah Islam dan kepercayaan anda sedalam-dalamnya. Jika kita hanya percaya bulat-bulat kepada pak ustaz-pak ustaz, bagaimana pula jika pak ustaz pula sudah terpesong? Maka itulah gunanya akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT supaya kita berfikir dan mengkaji.

Jika seorang pak ustaz kata "A!", maka janganlah kita terus kata "A!" melainkan ia sememangnya mempunyai dalil-dalil dan hujah-hujah yang berdasarkan al-Quran dan Hadis (saya tidak kata hujah yang kuat kerana kadang kala pegangan yang salah juga boleh mempunyai hujah yang kuat jika seseorang pandai memberi hujah..). Maka dengan itu, rujuklah beberapa orang pak ustaz lain dan jika anda masih ragu-ragu, maka bukalah kitab-kitab agama dan jika kitab-kitab agama itu mempunyai pertentangan dengan kata-kata pak ustaz, maka wujudkanlah persoalan kepada pak ustaz untuk menjelaskan segalanya dan sekiranya pak ustaz tidak pasti, tanyalah pak ustaz yang lain.

Apa-apa pun yang penting sekali, bila kita sudah mendapat jawapan, maka adalah penting untuk kita berkongsi dengan kawan-kawan dan juga pak ustaz yang kurang pasti tadi, dan dengan itu barulah boleh kita kata bahawa kita menganut Islam bukan atas dasar warisan atau keyakinan yang tidak berasas, atau sebagainya, malah kita ialah penganut Islam yang berkepercayaan berasaskan kajian, kebenaran, dan keimanan yang berasas dan tidak berbelah bahagi.

Inilah kemanisan Iman yang hakiki!

No comments:

Post a Comment